SEKSYEN KESELAMATAN & KESIHATAN PEKERJAAN (SKKP)
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)
 
Tujuan
Seksyen Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SKKP) ditubuh untuk membantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam mematuhi keperluan perundangan yang terdapat dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) ia melibatkan kerja-kerja perancangan, perlaksanaan dan pemantauan bagi mempastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan berada pada tahap yang optimum diberikan kepada pekerja dan orang awam yang datang berurusan dengan MPOB.

Selain itu seksyen ini merekod dan menjalankan siasatan ke atas apa-apa kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit pekerjaan yang berlaku atau berpotensi berlaku di tempat kerja.

Di samping itu, seksyen ini menyelaraskan program latihan dan aktiviti yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Fungsi Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Untuk memantap dan melancarkan perjalanan SKKP, sebuah Jawatankuasa ditubuh menurut Seksyen 30, Akta 514. Jawatankuasa dipengerusi oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan dan dianggotai oleh wakil pihak pengurusan tertinggi MPOB dan juga wakil pihak pekerjaan. Berikut adalah senarai fungsi jawatankuasa:-

(a) hendaklah sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang-orang di tempat kerja;

(b) hendaklah menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja:-

(i) yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja di tempat kerja itu adalah tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan; dan

(ii) yang telah dibawa kepada perhatian majikan;

(c) hendaklah cuba menyelesaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (b) dan, jika ia tidak berupaya berbuat demikian, hendaklah meminta Ketua Pengarah supaya menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja itu bagi maksud itu; dan

(d) hendaklah mempunyai apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan.

Akauntabiliti MPOB

Untuk memenuhi keperluan Seksyen 15 dalam Akta 514, maka MPOB telah meletakan komitmen yang tinggi dalam memastikan setakat yang praktik isu-isu yang berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja. Kewajipan ini merangkumi perkara seperti berikut:-

(a) pengadaan dan penyelenggaraan loji dan sistem kerja yang, setakat yang praktik, selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan;

(b) pembuatan perkiraan bagi menjamin, setakat yang praktik, keselamatan dan ketiadaan risiko kepada kesihatan berkaitan dengan penggunaan atau pengendalian, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan;

(c) pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan pekerjanya yang sedang bekerja;

(d) setakat yang praktik, berkenaan dengan mana-mana tempat kerja di bawah kawalan majikan atau orang yang bekerja sendiri, penyelenggaraannya dalam keadaan yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan dan pengadaan dan penyenggaraan cara masuk ke dalamnya dan keluar drinya yang selamat dan tanpa risiko sedemikian; dan

(e) pengadaan dan penyelenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerjanya, setakat yang praktik, selamat, tanpa risiko kepada kesihatan, dan memadai berkenaan dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.

Tanggungjawab Pekerja

Keadaan tempat kerja yang selamat dan sihat perlu dipikul bersama di antara pihak MPOB dan juga pihak pekerja. Menurut Seksyen 24 Akta 214, adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja:-

(a) untuk memberikan perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja;

(b) untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya;

(c) untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatannya; dan

(d) untuk mematuhi apa-apa arahan atau langkah tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperkenalkan oleh majikannya atau mana-mana orang lain melalui atau di bawah akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

Aktiviti Yang Dijalankan Dalam Tahun 2002

i) Ceramah kesedaran mengenai Keselamtan dan Kesihatan Pekerjaan dan Akta 514 oleh En. Mohd Yusri Mohd Yusof, daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Putrajaya ceramah diberi sempena minggu kualiti di Ibu Pejabat;

ii) Kempen menderma darah;

iii) Kempen memeriksa kesihatan am dan penyakit kanser payu dara;

iv) Kempen kebersihan dan keselamatan makmal, pejabat dan loji rintis;

v) Ceramah Keselamatan dan Kesihatan mengenai peruntukan yang terkandung dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) oleh En. Marzuki Azahari. Ceramah diberi semasa kursus retreat untuk pegawai di Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan;

vi) Mesyuarat Jawatankuasa induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.