:: AKTA BADAN-BADAN BERKANUN (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2000 [AKTA 605]
MPOB mengamalkan waktu bekerja anjal. Pegawai/pengkhidmat diberikan empat pilihan waktu bekerja. Permohonan pemilihan waktu anjal hendaklah dikemukakan kepada Unit Sumber Manusia melalui Ketua Jabatan masing-masing. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada kesesuaian aktiviti di pejabat-pejabat berkenaan. Empat pilihan waktu bekerja anjal adalah seperti berikut:
LATARBELAKANG
 
  • Akta 605 adalah satu akta yang diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berhubung dengan tatatertib dan pengenaan surcaj ke atas pegawai-pegawai Badan Berkanun yang diperbadankan oleh undang-undang persekutuan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya;
  • Akta ini telah mendapat persetujuan DiRaja pada 18 Ogos 2000, diwartakan pada 31 Ogos 2000 dan berkuatkuasa mulai pada 1 November 2000;
  • Mana-mana pegawai dan pengkhidmat MPOB yang melakukan perkara-perkara yang melanggar tatakelakuan yang ditetapkan membolehkan pihak pengurusan mengambil tindakan disiplin ke atasnya berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam akta ini.
TATAKELAKUAN
1.

Dalam Jadual Kedua Akta ini telah menyentuh berkenaan tatakelakuan pegawai dan pengkhidmat MPOB dimana dalam Bahagian Tatakelakuan (Am) ini, seseorang pegawai dan pengkhidmat hendaklah setiap masa memberikan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Yang DiPertuan Agong, Negara, Kerajaan dan Badan Berkanun (MPOB).

1.1 Seseorang pegawai tidak boleh -

(a) membelakangkan kewajipannya kepada badan berkanun demi kepentingan peribadinya;

(b) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kewajipannya kepada badan berkanun_

(c) berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa;

  • dia telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kewajipannya kepada badan berkanun sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai seorang pegawai badan berkanun; atau
  • dia telah menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan berkanun bagi faedahnya sendiri;

(d) berkelakukan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama badan berkanun;

(e) kurang cekap atau kurang berusaha;

(f) tidak jujur atau tidak amanah;

(g) tidak bertanggungjawab;

(h) membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap badan berkanun,sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain badan berkanun;

(i) ingkar perintah atau berkelakukan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah; dan

(j) cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

2.

Pekerjaan Luar

2.1 Melainkan jika dan setakat yang dia dikehendaki atau dibenarkan untuk berbuat demikian dalam perjalanan tugasnya sebagai seorang pegawai badan berkanun, seseorang pegawai tidak boleh : (a) mengambil bahagian, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pengurusan atau urusan apa-apa pengusahaan komersial, pertanian atau perindustrian;

(b) mengusahakan bagi mendapatkan upah apa-apa kerja dengan mana-mana institusi, syarikat, firma atau individu persendirian;

(c) sebagai seorang pakar, memberikan apa-apa laporan atau memberikan apa-apa keterangan, sama ada secara percuma atau dengan dibayar upah.

2.2 Walau apa pun subperaturan (1), seseorang pegawai boleh, dengan terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya, menjalankan mana-mana aktiviti atau melaksanakan mana-mana perkhidmatan yang dinyatakan dalam subperaturan itu, sama ada bagi faedahnya atau bagi faedah saudara-maranya yang dekat atau mana-mana badan tidak mencari keuntungan yang baginya dia menjadi seorang pemegang jawatan.
2.3

Dalam menimbangkan sama ada atau tidak kebenaran patut diberikan kepada mana-mana pegawai di bawah subperaturan (2), Ketua Jabatan hendaklah memberikan perhatian kepada tatakelakuan yang ditetapkan dalam peraturan 3 dan hendaklah memastikan bahawa aktiviti atau perkhidmatan itu _

(a) tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya ;

(b) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun ; dan

(c) tidak akan dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan kepentingan badan berkanun, atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun.

2.4 Kecuali sebagaimana yang ditetapkan selainnya oleh badan berkanun, segala jumlah wang yang diterima oleh seseorang pegawai sebagai saraan kerana menjalankan mana-mana aktiviti atau melaksanakan mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam subperaturan (1) hendaklah didepositkan dengan badan berkanun sementara menunggu keputusan Ketua Pengarah tentang amaun, jika ada, yang boleh disimpan oleh pegawai itu sendiri dan oleh mana-mana pegawai lain yang membantu pegawai itu dalam menjalankan aktiviti atau melaksanakan perkhidmatan itu.
3.

Etiket Pakaian

3.1 Seseorang pegawai semasa bertugas hendaklah sentiasa berpakaian dengan sepatutnya mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh badan berkanun melalui arahan yang dikeluarkan dari masa kesemasa oleh Lembaga; .
3.2 Seseorang pegawai yang dikehendaki menghadiri sesuatu upacara rasmi hendaklah berpakaian sebagaimana yang ditentukan bagi upacara itu, dan jika etiket pakaian bagi upacara itu tidak ditentukan, dia hendaklah berpakaian yang sesuai bagi upacara itu.
4.

Dadah

4.1 Seseorang pegawai tidak boleh menggunakan atau mengambil apa-apa dadah merbahaya, kecuali sebagaimana yang dipreskripsikan untuk kegunaannya bagi maksud perubatan oleh pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50], atau menyalahgunakan atau menagih apa-apa jenis dadah berbahaya.
4.2 Jika seseorang Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa seseorang pegawai menggunakan atau mengambil, selain bagi maksud perubatan, suatu dadah berbahaya atau menyalahgunakan atau menagih suatu dadah berbahaya, pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja.
4.3 Walau apa pun subperaturan (2), perkhidmatan seseorang pegawai yang telah diperakui oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan menggunakan atau mengambil, selain bagi maksud perubatan, suatu dadah berbahaya atau menyalahgunakan atau menagih suatu dadah berbahaya boleh ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Bahagian III Akta ini.
4.4 Bagi maksud peraturan ini "dadah berbahaya" ertinya apa-apa dadah atau bahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234]
5.

Hadiah dan sebagainya

5.1 Seseorang pegawai tidak boleh menerima atau memberikan dan tidak boleh membenarkan isteri atau suaminya atau mana-mana orang lain untuk menerima atau memberikan bagi pihaknya apa-apa hadiah, sama ada dalam bentuk zahir atau selainnya, daripada atau kepada mana-mana orang, persatuan, badan atau kumpulan orang jika penerimaan atau pemberian hadiah itu dalam apa-apa segi mempunyai kaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan tugas rasminya.
5.2 Ketua Jabatan seseorang pegawai boleh, jika difikirkannya patut, membenarkan pegawai itu untuk menerima suatu surat pujian daripada mana-mana orang, persatuan, badan atau kumpulan orang sempena persaraan atau pertukaran pegawai itu asalkan surat pujian itu tidak terkandung dalam suatu bekas yang bernilai.
5.3 Ketua Jabatan boleh membenarkan pemungutan sumbangan secara spontan oleh pegawai-pegawai di bawah jagaannya bagi maksud pemberian hadiah kepada seseorang pegawai dalam Jabatannya sempena persaraan, pertukaran atau perkahwinan pegawai itu atau apa-apa peristiwa lain yang sesuai.
5.4

Jika :

(a) seseorang pegawai berasa ragu-ragu tentang sama ada bentuk, amaun atau nilai hadiah yang diterima olehnya adalah sepadan dengan maksud hadiah itu diberikan; atau

(b) hal keadaan menyebabkan sukar bagi seseorang pegawai untuk menolak sesuatu hadiah atau cenderamata yang bernilai, yang penerimaannya dilarang oleh peraturan ini,

hadiah ini bolehlah diterima secara rasmi tetapi pegawai itu hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik, mengemukakan suatu laporan bertulis kepada Ketua Jabatannya yang mengandungi perihal laporan lengkap dan anggaran nilai hadiah itu dan hal keadaan hadiah itu diterima.

5.6

Apabila diterima laporan yang dibuat di bawah subperaturan (4), Ketua Jabatan hendaklah _

(a) membenarkan pegawai itu menyimpan hadiah itu; atau

(b) mengarahkan supaya hadiah itu dikembalikan, melalui Ketua Jabatan itu, kepada pemberinya.

6.

Keraian

  Seseorang pegawai boleh memberi atau menerima daripada mana-mana orang apa-apa jenis keraian jika _

(a) keraian itu tidak dalam apa-apa cara mempengaruhi pelaksanaan tugas-tugasnya sebagai seorang pegawai badan berkanun untuk kepentingan orang itu; dan

(b) pemberian atau penerimaan keraian itu tidak dalam apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan peraturan 3.

7.

Pemunyaan Harta

7.1 Seseorang pegawai hendaklah, apabila dilantik ke perkhidmatan sesuatu badan berkanun atau pada bila-bila masa selepas itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga, mengisytiharkan secara bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan, melalui Ketua Jabatannya, segala harta yang dipunyai olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya.
7.2 Seseorang pegawai yang tidak mempunyai apa-apa harta hendaklah membuat suatu pengisytiharan secara betulis yang menyatakan sedemikian.
7.3 Jika, selepas membuat suatu pengisytiharan di bawah subperaturan (1), seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya memperoleh apa-apa harta, sama ada secara langsung atau tidak langsung, atau apa-apa harta yang telah diperoleh olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya dilupuskan, pegawai itu hendaklah dengan segera, melalui Ketua Jabatannya, mengisytiharkan pemerolehan atau pelupusan harta itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan.
7.4 Jika seseorang pegawai atau isteri atau suaminya atau anaknya bercadang hendak memperoleh apa-apa harta, dan pemerolehan itu adalah tidak selaras dengan peraturan 3, pemerolehan itu tidak boleh dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan.
7.5

Dalam memutuskan sama ada atau tidak hendak memberikan kebenaran dibawah subperaturan (4), Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang berikut :

(a) saiz, amaun atau nilai harta itu berbanding dengan emolumen pegawai itu dan apa-apa pendapatan persendirian yang sah ;

(b) sama ada pemerolehan atau pemegangan harta itu akan atau mungkin akan bercanggah dengan kepentingan badan berkanun, atau dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai badan berkanun, atau dengan apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan peraturan (3);

(c) ulasan Ketua Jabatan tentang pemerolehan atau pemunyaan harta itu;

(d) apa-apa faktor lain yang dianggap perlu oleh Jawankuasa Tatatertib yang berkenaan bagi menjaga keutuhan dan kecekapan badan berkanun dan pegawai-pegawai badan berkanun.

7.6 Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklah, jika Jawatankuasa Tatatertib berpuas hati dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh pegawai itu, mengarahkan Ketua Jabatan mencatatkan di dalam Rekod Perkhidmatan pegawai itu bahawa pengisytiharan sedemikian telah dibuat.
7.7 Tiap-tiap pengisytiharan di bawah subperaturan (1) hendaklah diklasifikasikan sebagai rahsia dan tiap-tiap orang yang memperoleh maklumat di bawah peraturan ini tentang apa-apa perisytiharan sedemikiann hendaklah menyimpan kerahsiaannya.
7.8 Bagi maksud peraturan ini "harta" ertinya apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang pegawai itu dikehendaki dari semasa ke semasa oleh Lembaga supaya mengisytiharkannya, iaitu harta yang telah diperoleh oleh pegawai itu melalui pembelian, pemberian, pewarisan atau cara lain, dan termasuk harta yang diperoleh atau dipegang oleh isteri atau suami atau anak pegawai itu.
8.

Menyenggara taraf kehidupan yang melebihi emolumen dan pendapatan persendirian yang sah

8.1 Jika Ketua Jabatan berpendapat bahawa seseorang pegawai adalah atau tampaknya _

(a) menyenggara suatu taraf kehidupan yang melebihi emolumen dan pendapatan persendiriannya yang lain yang sah, jika ada; atau

(b) mengawal atau memiliki sumber-sumber kewangan atau harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang nilainya tidak seimbang dengan, atau yang tidak boleh semunasabahnya dijangka telah diperoleh oleh pegawai itu dengan emolumennya dan apa-apa pendapatan persendiriannya yang lain yang sah,

Ketua Jabatan hendaklah, melalui notis bertulis, memanggil pegawai itu supaya memberikan penjelasan bertulis dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penerimaan notis itu tentang bagaimana dia dapat menyenggara taraf kehidupan sedemikian atau bagaimana dia telah mendapat sumber-sumber kewangannya atau harta itu.

8.2 Ketua Jabatan hendaklah, apabila menerima penjelasan dibawah subperaturan (1) atau, jika pegawai itu tidak memberikan apa-apa penjelasan dalam tempoh yang ditentukan, apabila tempoh itu tamat, melaporkan hakikat ini kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan berserta dengan penjelasan pegawai itu, jika ada.
8.3

Apabila laporan di bawah subperaturan (2) diterima, Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai itu atau mengambil apa-apa tindakan lain terhadap pegawai itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

9.

Meminjam Wang

9.1 Tiada pegawai boleh meminjam daripada mana-mana orang atau menjadi penjamin kepada mana-mana peminjam, atau dengan apa-apa cara meletakkan dirinya di bawah suatu obligasi kewangan kepada mana-mana orang _

(a) yang secara langsung atau tidak langsung tertakluk kepada kuasa rasminya;

(b) yang dengannya pegawai itu ada atau mungkin ada urusan rasmi;

(c) yang tinggal atau memiliki tanah atau menjalankan perniagaan di dalam kawasan tempatan tempat dia mempunyai kuasa rasmi; atau

(d) yang menjalankan perniagaan pemberian pinjaman wang.

9.2

Walau apa pun subperaturan (1), seseorang pegawai boleh meminjam wang daripada, atau menjadi penjamin kepada mana-mana orang yang meminjam wang daripada, mana-mana institusi kewangan, penanggung insurans atau koperasi atau menanggung hutang dengan cara pemerolehan barang-barang melalui perjanjian sewa beli, jika _

(a) institusi kewangan, penanggung insurans atau koperasi yang daripadanya pegawai itu meminjam tidaklah secara langsung tertakluk kepada kuasa rasminya;

(b) peminjaman itu tidak dan tidak akan membawa kepada skandal awam dan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu penyalahgunaan oleh pegawai itu kedudukannya sebagai seorang pegawai badan berkanun untuk faedah peribadinya; dan

(c) agregat hutangnya tidak atau tidak mungkin menyebabkan pegawai itu berada dalam keterhutangan kewangan yang serius sebagaimana yang ditakrifkan di bawah subperaturan 12(7) dan (8).

9.3

Tertakluk kepada subperaturan (2), seseorang pegawai boleh menanggung hutang yang berbangkit daripada _

(a) jumlah wang yang dipinjam atas cagaran tanah yang digadaikan atau digadaijanjikan, jika jumlah wang yang dipinjam itu tidak melebihi nilai tanah itu;

(b) overdraf atau kemudahan kredit lain yang diluluskan oleh institusi kewangan;

(c) jumlah wang yang dipinjam daripada penanggung insurans atas cagaran polisi insurans;

(d) jumlah wang yang dipinjam daripada Kerajaan, badan berkanun atau mana-mana koperasi; atau

(e) jumlah wang yang kena dibayar atas barang-barang yang diperoleh melalui perjanjian sewa beli.

10.

Keterhutangan Kewangan Yang Serius

10.1 Seseorang pegawai tidak boleh dengan apa-apa cara menyebabkan dirinya berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.
10.2 Keterhutangan kewangan yang serius kerana apa-apa jua pun sebab, selain akibat malang yang tidak dapat dielakkan yang tidak disebabkan dengan apa-apa cara oleh pegawai itu sendiri, hendaklah dianggap sebagai memburukkan nama badan berkanun dan hendaklah menyebabkan pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib.
10.3 Jika keterhutangan kewangan yang serius telah berlaku akibat malang yang tidak dapat dielakkan, Lembaga boleh memberi pegawai itu apa-apa bantuan sebagaimana yang wajar mengikut hal keadaan.
10.4 Jika seseorang pegawai mendapati bahawa hutangnya menyebabkan atau mungkin menyebabkan keterhutangan kewangan yang serius kepadanya, atau suatu prosiding sivil berbangkit daripada hutang itu telah dimulakan terhadapnya, dia hendaklah dengan serta-merta melaporkan hakikat ini kepada Ketua Jabatannya.
10.5 Seseorang pegawai yang tidak melaporkan atau lengah melaporkan keterhutangan kewangan yang serius atau yang melaporkan keterhutangan yang serius tetapi tidak mendedahkan takat keterhutangannya itu dengan sepenuhnya atau memberikan keterangan yang palsu atau yang mengelirukan mengenai keterhutangannya adalah melakukan suatu perlanggaran tatatertib dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
10.6 Tanpa menjejaskan peruntukan-peruntukan lain dalam peraturan ini, jika hutang pegawai itu terjumlah kepada suatu keterhutangan kewangan yang serius tetapi dia belum dihukum bankrap, Ketua Jabatan hendaklah memantau dan, dari semasa ke semasa, mengkaji semula kes itu.
10.7 Bagi maksud peraturan ini, ungkapan "keterhutangan kewangan yang serius" ertinya keadaan keterhutangan seseorang pegawai yang, setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggung olehnya, telah sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya.
10.8

Tanpa menjejaskan pengertian am ungkapan "keterhutangan kewangan yang serius" yang dinyatakan dalam subperaturan (7), seseorang pegawai hendaklah disifatkan sebagai berada dalam keterhutangan kewangan yang serius jika _

(a) agregat hutang dan nilai tanggungan tidak bercagarnya pada bila-bila masa tertentu melebihi enam kali emolumen bulanannya;

(b) dia ialah seorang penghutang penghakiman dan hutang penghakiman itu tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan dalam penghakiman itu;

(c) dia ialah seorang bankrap, selagi dia belum dilepaskan daripada kebankrapan atau penghakiman kebankrapannya belum dibatalkan.

11.

Laporan mengenai keterhutangan kewangan yang serius

11.1
Jika seseorang pegawai melaporkan di bawah subperaturan 12(4) bahawa prosiding sivil telah dimulakan terhadapnya atau jika Ketua Jabatan menerima apa-apa laporan daripada mana-mana pihak bahawa prosiding sivil telah dimulakan terhadap seseorang pegawai, Ketua Jabatan hendaklah mendapatkan daripada mahkamah suatu cabutan keputusan mutakhir mahkamah dalam prosiding itu.
11.2
Ketua Pengarah hendaklah membuat perkiraan dengan pihak berkuasa mahkamah yang berkenaan bagi Ketua Jabatan seseorang pegawai untuk mendapatkan daripada pihak berkuasa itu suatu laporan berkenaan dengan pegawai itu jika-
(a) pegawai itu, sebagai seorang penghutang penghakiman, didapati daripada fail guaman itu tidak menjelaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan dalam penghakiman itu;
(b) pegawai itu telah memfailkan petisyen kebankrapannya sendiri; atau
(c) suatu petisyen kebankrapan oleh seorang pemiutang telah disampaikan terhadap pegawai itu.
11.3
Sebagai tambahan kepada perkiraan yang boleh dibuat di bawah subperaturan (2), Ketua Pengarah hendaklah membuat perkiraan dengan Pegawai Pemegang Harta bagi Pegawai Pemegang Harta menyampaikan kepada Ketua Jabatan seseorang pegawai yang menjadi seorang bankrap suatu laporan yang mengandungi perkara-perkara yang berikut:
(a) pernyataan hal ehwal yang difailkan oleh pegawai itu mengikut undang-undang kebankrapan yang sedang berkuat kuasa;
(b) amaun bayaran ansuran yang diperintahkan atau yang dicadangkan dibuat:
(c) sama ada atau tidak Pegawai Pemegang Harta bercadang untuk memulakan apa-apa prosiding selanjutnya dan, demikian , suatu pernyataan ringkas mengenai jenis prosiding selanjutnya itu;
(d) sebab utama kebankrapan itu;
(e) sama ada pada pendapat Pegawai Pemegang Harta kes itu melibatkan suatu malang yang tidak dapat dielakkan, kelakuan hina atau apa-apa hal keadaan lain yang khas, yang memihak atau tidak memihak kepada pegawai itu; dan
(f) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Pegawai Pemegang Harta, mengikut budi bicaranya, patut disebut.
11.4
Ketua Jabatan hendaklah menghantar laporan pegawai dan cabutan keputusan mahkamah yang diterima di bawah subperaturan (1) dan laporan yang diterima di bawah subperaturan (2) dan (3) kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan berserta dengan laporannya mengenai kerja dan kelakuan pegawai itu sebelum dan sejak keterhutangan kewangannya yang serius.
11.5
Setelah menimbangkan semua laporan dan cabutan yang dikemukakan kepadanya di bawah subperaturan (4), Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklah memutuskan sama ada hendak mengambil tindakan tataterib terhadap pegawai itu.
11.6
Jika tindakan tatatertib yang diambil terhadap pegawai itu berkeputusan dengan hukuman tangguh pergerakan gaji, Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan boleh, apabila habis tempoh penangguhan pergerakan gaji itu, memerintahkan supaya suatu amaun yang sama banyak dengan amaun yang diterima daripada pergerakan gaji yang dipulihkan itu ditambahkan kepada ansuran-ansuran yang kena dibayar kepada Pegawai Pemegang Harta atau kepada mana-mana pemiutang penghakiman.
11.7
Seseorang pegawai yang telah dilepaskan daripada kebankrapan atau yang penghakiman kebankrapannya telah dibatalkan hendaklah dikira sebagai telah memulihkan kedudukan kredit kewangannya dengan sepenuhnya.
12.

Meminjamkan Wang

12.1 Seseorang pegawai tidak boleh meminjamkan wang dengan faedah, sama ada dengan atau tanpa cagaran.
12.2 Penyimpanan wang secara deposit tetap atau ke dalam suatu akuan dalam mana-mana institusi kewangan atau koperasi atau dalam bon yang diterbitkan oleh Kerajaan atau oleh mana-mana badan berkanun tidak boleh dianggap sebagai peminjaman wang dengan faedah bagi maksud peraturan ini.
13.

Penglibatan dalam pasaran niaga hadapan

13.1
Tiada pegawai boleh melibatkan dirinya sebagai pembeli atau penjual atau selainnya dalam pasaran niaga hadapan. sama ada pasaran tempatan atau luar negara.
15.

Penerbitan Buku dan sebagainya

Seseorang pegawai tidak boleh menerbitkan atau menulis apa-apa buku, makalah atau karya lain yang berasaskan maklumat rasmi terperingkat.
16.

Membuat Pernyataan Awam

16.1 Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain_

(a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan tentang apa-apa isu;

(b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama badan berkanun atau Kerajaan;

(c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau Kerajaan;

(d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

16.2

Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain_

(a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau Kerajaan;

(b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi badan berkanun;

(c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan badan berkanun atau Kerajaan; atau

(d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,

melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.

16.3 Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Menteri.
16.4 Bagi maksud peraturan ini, "pernyataan awam" dengan bertindak sebagai penyunting termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.
17.

Larangan bertindak sebagai seorang penyunting, dsb.,dalam mana-mana penerbitan

17.1 Seseorang pegawai tidak boleh bertindak sebagai penyunting bagi, atau mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan, atau dengan apa-apa cara membuat apa-apa sumbangan kewangan atau selainnya kepada, mana-mana penerbitan, termasuk mana-mana surat khabar, majalah atau jurnal, tanpa mengambil kira cara surat khabar, majalah atau jurnal itu diterbitkan, kecuali penerbitan yang berikut:

(a) penerbitan jabatan;
(b) penerbitan profesional;
(c) penerbitan organisasi sukarela yang tidak bercorak politik; dan
(d) penerbitan yang diluluskan secara bertulis oleh Ketua Pengarah bagi maksud peraturan ini.

18.

Mengambil Bahagian Dalam Politik

18.1 Seseorang pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi atau Kumpulan Pengurusan dan Profesional tidak boleh mengambil bahagian aktif dalam aktiviti politik atau memakai apa-apa lambang sesuatu parti politik, dan khususnya, dia tidak boleh_

(a) membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah tentang apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti-parti politik;

(b) menerbitkan atau mengedar apa-apa bahan yang mengemukakan pandangannya yang berat sebelah atau pandangan orang lain, tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan mana-mana parti politik;

(c) terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri atau apa-apa pemilihan untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik;

(d) bertindak sebagai ejen pilihan raya atau ejen tempat mengundi atau atas apa-apa sifat untuk atau bagi pihak seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri;

(e) bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau

(f) memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

18.2 Seseorang pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh, setelah mmendapatkan kelulusan bertulis Lembaga, dibenarkan bertanding atau memegang jawatan atau dilantik bagi memegang apa-apa jawatan dalam sesuatau parti politik.
18.3

Walau apa pun subperaturan (1), seseorang pegawai yang telah dibenarkan bercuti hingga ke tarikh persaraannya bagi maksud menghabiskan cutinya yang terkumpul boleh mengambil bahagian dalam aktiviti politik jika_

(a) dia telah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan bertulis Lembaga untuk berbuat demikian; dan

(b) dengan penglibatan sedemikian dia tidak melanggar pertuntukan-peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

18.4 Sesuatu permohonan bagi kelulusan di bawah perenggan (3) (a) hendaklah dibuat tidak kurang daripada tiga bulan sebelum tarikh pegawai itu dibenarkan bercuti sebelum persaraannya.
18.5 Tiada apa-apa jua dalam peraturan ini boleh menghalang seseorang pegawai daripada menjadi anggota biasa mana-mana parti politik.
19.

Tugas Untuk Menjalankan Kawalan dan Pengawasan Tatatertib

19.1 Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap pegawai untuk menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai-pegawai bawahannya dan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian bagi apa-apa pelanggaran peruntukan Peraturan-Peraturan ini.
19.2 Seseorang pegawai yang tidak menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai-pegawai bawahannya, atau tidak mengambil tindakan terhadap pegawai bawahannya yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan ini hendaklah disifatkan telah cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab, dan dia boleh dikenakan tindakan tatatertib.
KETIDAKHADIRAN TANPA CUTI
1.

Tidak Hadir Untuk Bertugas

Dalam Bahagian ini "tidak hadir", berhubung dengan seseorang pegawai, termasuklah tidak hadir bagi apa-apa jua tempoh masa pada masa dan di tempat pegawai itu dikehendaki hadir bagi pelaksanaan tugas-tugasnya.
2.

Tindakan tatatertib kerana tidak hadir tanpa cuti

 

Ketidakhadiran untuk bertugas oleh seseorang pegawai tanpa cuti atau tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah boleh menyebabkan dia dikenakan tindakan tatatertib.

3.

Tatacara dalam hal ketidakhadiran tanpa cuti

3.1 Jika seseorang pegawai tidak hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah, Ketua Jabatannya hendaklah, secepat yang mungkin, melaporkan hakikat itu berserta dengan tarikh-tarikh dan hal keadaan ketidakhadiran itu dan apa-apa maklumat selanjutnya berkenaan dengan ketidakhadiran itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan.
3.2 Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan boleh, setelah menimbangkan laporan Ketua Jabatan di bawah subperaturan (1), memulakan tindakan tatatertib terhadap pegawai itu.
4

Tatacara jika pegawai tidak hadir tanpa cuti dan tidak dapat dikesan

4.1 Jika seseorang pegawai tidak hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah selama tujuh hari bekerja berturut-turut dan tidak dapat dikesan, Ketua Jabatannya hendaklah menyebabkan suatu surat diserahkan kepada pegawai itu sendiri atau dihantar melalui Pos Berdaftar Akuan Terima kepada pegawai itu di alamatnya yang akhir diketahui, mengarahkan pegawai itu supaya segera melaporkan diri untuk bertugas
4.2

Jika, selepas surat itu diserahkan_

(a) pegawai itu melaporkan diri untuk bertugas; atau

(b) pegawai itu tidak melaporkan diri untuk bertugas atau tiada khabar didengar daripadanya,

Ketua Jabatannya hendaklah mengemukakan suatu laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan dan Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah memulakan tindakan tatatertib terhadap pegawai itu.

4.3

Jika surat tidak dapat diserahkan kepada pegawai itu sendiri disebabkan dia tidak lagi tinggal di alamatnya yang akhir diketahui atau jika surat Pos Berdaftar Akuan Terima telah dikembalikan tidak terserah, Ketua Jabatan hendaklah melaporkan perkara itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai itu.

 

4.4

Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklah, apabila menerima laporan yang disebut dalam subperaturan (3), mengambil langkah untuk menyiarkan suatu notis dalam sekurang-kurangnya satu surat khabar harian yang diterbitkan dalam bahasa kebangsaan dan mempunyai edaran di seluruh negara sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib itu_

(a) hakikat bahawa pegawai itu telah tidak hadir bertugas dan tidak dapat dikesan; dan

(b) menghendaki pegawai itu melaporkan diri untuk bertugas dalam masa tujuh hari dari tarikh penyiaran itu.

4.5 Jika pegawai itu melaporkan diri untuk bertugas dalam masa tujuh hari dari tarikh penyiaran notis yang disebut dalam subperaturan (4), Ketua Jabatannya hendaklah melaporkan perkara itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan dan Jawatankuasa Tataterttib itu hendaklah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai itu.
4.6 Jika pegawai itu tidak melaporkan diri untuk bertugas dalam masa tujuh hari dari tarikh penyiaran notis yang disebut dalam subperaturan (4), pegawai itu hendaklah disifatkan telah dibuang kerja daripada perkhidmatan badan berkanun berkuat kuasa mulai dari tarikh dia tidak hadir bertugas.
4.7

Pembuangan kerja seseorang pegawai menurut kuasa subperaturan (6) hendaklah diberitahukan dalam Warta.

5

Pelucutkan emolumen kerana tidak hadir untuk bertugas

5.1 Jika seseorang pegawai telah didapati bersalah kerana tidak hadir untuk bertugas tanpa cuti atau tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah, dia tidak berhak kepada apa-apa emolumen bagi tempoh ketidakhadirannya dan segala emolumen sedemikian hendaklah disifatkan telah terlucut hak walaupun Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan tidak mengarahkan pelucuthakan itu.
5.2 Seseorang pegawai yang emolumennya telah terlucut hak di bawah subperaturan (1) hendaklah diberitahu secara bertulis mengenai perlucutkan itu.
5.3 Perlucutkan emolumen oleh sebab subperaturan (1) bukanlah suatu hukuman tatatertib.
BIDANGKUASA JAWATANKUASA TATATERTIB
 

Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan adalah berkuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib seperti berikut:

  • Tindakan Tatatertib tidak dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat (sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 34 dalam akta yang sama); dan,
  • Tindakan Tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat (sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 35 dalam akta yang sama).
JENIS HUKUMAN TATATERTIB
 

Jika seseorang pegawai didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib, mana mana satu atau apa-apa gabungan dua atau lebih hukuman yang berikut, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu, boleh dikenakan ke atas pegawai itu:

(a) amaran;
(b) denda;
(c) lucut hak emolumen;
(d) tangguh pergerakan gaji;
(e) turun gaji;
(f) turun pangkat;
(g) buang kerja.

KEANGGOTAAN DAN BIDANG KUASA JAWATANKUASA TATATERTIB DAN JAWATANKUASA RAYUAN TATATERTIB BADAN BERKANUN
 

Keanggotaan dan bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib bagi badan berkanun seperti di bawah: di bawah:-

   
 
JAWATANKUASA TATATERTIB
JAWATANKUASA RAYUAN TATATERTIB
Kategori Pegawai
Bidang Kuasa
Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib
Keanggotaan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib
Ketua Pengarah Tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat Jawatankuasa Tatatertib I Jawatankuasa Rayuan Tatatertib I
Timbalan Ketua Pengarah
Kumpulan Pengurusan Tertinggi Pengerusi: Pengerusi:
Kumpulan Pengurusan dan Profesional Pengerusi Lembaga Y.B.Menteri Perusahaan Utama
Kumpulan A di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976 Ahli: Ahli:
Ketua Setiausaha KPU Wakil Perbendaharaan
Wakil FELDA Wakil MPOA
Wakil NASH
Ketua Pengarah Tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang pangkat kerja atau turun pangkat Jawatankuasa Tatatertib II Jawatankuasa Rayuan Tatatertib II
Pengerusi: Pengerusi :
Timbalan Ketua Pengarah Pengerusi Lembaga Y.B. Menteri Perusahaan Utama
Kumpulan Pengurusan Tertinggi Ahli: Ahli :
Ketua Setiausaha KPU Wakil Perbendaharaan
Wakil FELDA Wakl MPOA
Wakil NASH
Kumpulan Pengurusan dan Profesional Tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat Jawatankuasa Tatatertib III Jawatankuasa Rayuan Tatatertib III
Pengerusi : Pengerusi :
Kumpulan A di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976 Ketua Pengarah KSU KPU
Ahli : Ahli :
Timb.KSU KPU (Pentadbiran) Wakil Perbendaharaan
Wakil FELDA Wakil KPU
Wakil NASH
Kumpulan Sokongan Tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat Jawatankuasa Tatatertib IV Jawatankuasa Rayuan Tatatertib IV
Pengerusi : Pengerusi :
Ketua Pengarah KSU KPU
Ahli : Ahli :
Timb.KSU KPU (Pentadbiran) Wakil Perbendaharaan
Kumpulan B, C, dan D di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976 Penasihat Undang-undang KPU Wakil KPU
Wakil FELDA
Wakil NASH
Kumpulan Sokongan Tindakan tatatertib bukan dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat Jawatankuasa Tatatertib V Jawatankuasa Rayuan Tatatertib V
Pengerusi : Pengerusi:
Timbalan Ketua Pengarah Ketua Pengarah
Ahli : Ahli :
Kumpulan B, C, dan D di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976 SUB Pentadbiran KPU Timbalan KSU KPU
Penasihat Undang-undang KPU (Pentadbiran)
Wakil FELDA Wakil MPOA
Wakil NASH
UMUM
 

Setiap pegawai dan pengkhidmat MPOB adalah digalakkan mengetahui Akta 605 ini dengan sebaik mungkin agar perkara-perkara yang bertentangan dengan akta ini dapat dielakkan. Pelanggaran terhadap peraturan-peraturan yang diperuntukkan dalam akta ini membolehkan pihak Pengurusan MPOB tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai/pengkhidmat MPOB. Kerjasama serta komitmen yang tinggi oleh pegawai dan pengkhidmat MPOB dalam mematuhi Akta 605 ini, diharap akan melahirkan warga kerja MPOB yang berdaya maju, berdisiplin, bersih, cekap dan amanah.

SURCAJ
Definasi Surcaj
 
 

Surcaj adalah " …jumlah wang yang tidak melebihi wang yang tidak dikutip, pembayaran, kekurangan atau kerugian atau nilai harta benda yang telah musnah, mengikut mana yang berkenaan, dan berhubung dengan kegagalan untuk menyimpan akaun-akaun atau rekod dengan teratur atau gagal membuat pembayaran atau kelewatan membuat pembayaran….."
- (Seksyen 18, Akta Prosedur Kewangan, 1957)

   
Perihal Surcaj
   
  i. Bukan hukuman tatatertib di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605);

ii. Walau apa pun jua yang terkandung dalam peraturan-peraturan ini, Lembaga boleh mengenakan surcaj terhadap mana-mana pegawai mengikut Akta Prosedur Kewangan 1957;

iii. Mempunyai unsur-unsur tindakan tatatertib;

iv. Hendaklah direkodkan dalam buku perkhidmatan.

   
Alasan Bagi Surcaj
   
 

Seksyen 14, Akta BAdan-badan Berkanun(Tatatertib & Surcaj) 2000 (Akta 605) memperuntukkan bahawa;_

Seseorang yang adalah atau pernah berada dalam penggajian sesuatu badan berkanun boleh disurcaj jika ternyata kepada Lembaga bahawa orang itu_

a. tidak atau telah gagal untuk memungut apa-apa wang yang terhutang kepada badan berkanun itu yang bagi pemungutannya dia adalah atau telah dipertanggungjawabkan;
b. adalah atau telah bertanggungjawab bagi apa-apa pembayaran wang yang tidak sepatutnya daripada badan berkanun itu atau bagi apa-apa pembayaran wang yang tidak diluluskan dengan sewajarnya;
c. adalah atau telah bertanggungjawab, secara langsung atau tidak langsung, bagi apa-apa kekurangan dalam, atau bagi pemusnahan, apa-apa wang, barang-barang simpanan atau harta lain badan berkanun itu;
d. sebagai atau sebagai seorang yang pernah menjadi seorang pegawai akaun, tidak atau telah gagal untuk menyimpan atau memantau akaun atau rekod yang sepatutnya bagi badan berkanun itu; atau
e. tidak atau telah gagal untuk membuat apa-apa pembayaran atau adalah atau telah bertanggungjawab bagi apa-apa kelewatan dalam pembayaran wang daripada badan berkanun itu kepada mana-mana orang yang kepadanya bayaran itu kena dibayar di bawah mana-mana undang-undang atau di bawah mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan yang dibuat antara orang itu dengan badan berkanun itu.

 

Amaun Surcaj
   
  Surcaj dikenakan dalam bentuk wang iaitu :-

i) bagi kesalahan di bawah seksyen 14 (a),(b) dan (c) , Akta 605, amaun surcaj yang dikenakan tidak boleh melebihi daripada amaun yang hilang;
ii) bagi kesalahan di bawah seksyen 14 (d) dan (e), Akta 605, amaun surcaj adalah terpulang kepada budi bicara Lembaga.

   
Kaedah Tuntutan Surcaj
   
 

i) Surcaj yang dikenakan kepada seseorang pegawai merupakan hutang kepada Badan Berkanun dan boleh dikutip secara tunai atau dengan membuat potongan bulanan yang tidak melebihi ¼ daripada jumlah emolumen;

ii) Pegawai berpencen dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada Y.B. Menteri Kewangan;

iii) Pegawai yang meletakkan jawatan melalui tindakan undang-undang.