:: ELAUN PENANGGUNGAN KERJA

Elaun penanggungan kerja diberi kepada pegawai/pengkhidmat yang diarah menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab suatu jawatan lain yang sama, lebih tinggi, atau lebih rendah tarafnya di samping menjalankan tugas-tugas jawatannya sendiri.

Peraturan dan Prinsip:

  • Penanggungan kerja selama 28 hari berturut-turut termasuk cuti mingguan, kelepasan am dan juga cuti rehat atas sebab-sebab kecemasan serta cuti sakit secara terkumpul yang tidak melebihi daripada enam hari bekerja adalah layak dibayar elaun penanggungan kerja.
  • Pegawai/pengkhidmat yang sedang menanggung kerja sesuatu jawatan apabila mengambi cuti atau meninggalkan jawatan yang ditanggung kerjanya itu selama 14 hari atau lebih secara berturut-turut, termasuk hari kelepasan am, maka pembayaran elaun penanggungan kerja dihentikan bagi tempoh tersebut.
  • Pegawai/pengkhidmat yang pernah diluluskan menanggung kerja sesuatu jawatan dan kemudiannya diluluskan menanggung kerja jawatan yang sama, boleh dibayar elaun penanggungan kerja sekiranya ia telah menggenapkan tempoh selama tidak kurang daripada 14 hari berturut-turut termasuk hari kelepasan am kerana menjalankan tugas jawatan tersebut.
  • Bagi penanggungan kerja jawatan yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang oleh pegawai dan pengkhidmat, elaun penanggungan kerja hanya layak dibayar sekiranya kedua-dua jawatan terlibat tidak mempunyai hubungan taraf tinggi rendah. Bagi maksud peraturan ini "hubungan taraf tinggi rendah" ialah apabila didapati dua jawatan dalam satu susunan kuasa yang berbeza tarafnya dan jawatan yang lebih rendah tarafnya itu bertanggungjawab kepada jawatan yang lebih tinggi. Oleh itu pegawai/pengkhidmat di taraf yang lebih tinggi tidak boleh menanggung kerja jawatan di bawah kawalannya.
  • Pegawai/pengkhidmat tidak dibenarkan menanggung kerja lebih daripada satu jawatan pada satu masa yang sama.
  • Bagi penanggungan kerja jawatan yang diwujudkan secara Khas Untuk Penyandang (KUP), pembayaran elaun penanggungan kerja hendaklah didasarkan sama ada pada gred hakiki jawatan KUP itu atau gred hakiki pegawai/pengkhidmat yang menyandang, mengikut mana yang lebih rendah.
    Kadar Elaun Penanggungan Kerja

    Kadar elaun penanggungan kerja ialah sebanyak 25% daripada gaji permulaan jawatan yang ditanggung kerja. Bagi jawatan yang menetapkan tanggagaji permulaan yang berbeza-beza selain daripada P1T1, maka gaji permulaan bagi tujuan perkiraan elaun penanggungan kerja ialah gaji permulaan yang terendah dalam skim perkhidmatan berkenaan.