:: ELAUN PEMANGKUAN

Elaun pemangkuan diberi kepada pegawai/pengkhidmat yang diarah menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan suatu jawatan secara sepenuh masa yang lebih tinggi gred dari gred hakikinya dalam skim perkhidmatan pegawai/pengkhidmat.

Peraturan dan prinsip :

  • Pemangkuan selama 28 hari berturut-turut termasuk hari cuti mingguan, kelepasan am dan cuti rehat atas sebab-sebab kecemasan serta cuti sakit secara terkumpul yang tidak melebihi daripada enam hari bekerja adalah layak dibayar elaun pemangkuan.
  • Walau bagaimanapun, dalam keadaan berikut dan bagi tempoh yang tidak melebihi 92 hari berturut-turut termasuk hari kelepasan am, pegawai/pengkhidmat masih layak dibayar elaun pemangkuan, iaitu:
    1. menghadiri kursus yang diarah oleh Kerajaan;
    2. meninggalkan jawatan untuk menjalankan tugas rasmi lain atas arahan Pentadbiran MPOB; atau
    3. dibenarkan bercuti sakit yang disokong oleh sijil sakit.
  • Pemangkuan yang kurang dari enam bulan bagi sesuatu jawatan tidak dibenarkan, kecuali bagi jawatan yang tidak boleh ditanggung kerja.

 

Kadar Elaun Pemangkuan

Kadar elaun pemangkuan ialah perbezaan di antara gaji permulaan jawatan yang dipangku dengan gaji hakiki pegawai/pengkhidmat dengan syarat:

1. perbezaan itu tidak kurang daripada satu pergerakan gaji secara mendatar di gred hakiki pegawai/pengkhidmat. Jika perbezaan itu kurang daripada satu pergerakan gaji, elaun pemangkuan ialah sebanyak satu pergerakan gaji secara mendatar di atas tanggagaji jawatan yang dipangku; dan

2. sekiranya gaji hakiki pegawai/pengkhidmat itu sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan jawatan yang dipangku, elaun pemangkuan ialah sebanyak satu pergerakan gaji secara mendatar di atas tanggagaji jawatan yang dipangku.

Seseorang pegawai/pengkhidmat yang memangku jawatan yang lebih tinggi bukan dengan tujuan naik pangkat adalah layak menikmati elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan dalam jawatan yang dipangkunya kecuali elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan seperti berikut:

i. Bayaran Bantuan Sewa Rumah
ii. Bayaran Bantuan Menyenggara Rumah
iii. Bayaran Bantuan Gaji Drebar
iv. Bayaran Bantuan Orang Gaji
v. Peruntukan kereta rasmi
vi. Cuti di atas kadar pegawai hakiki jawatan itu
vii. Lawatan tambang percuma
viii. Bekalan air dan elektrik percuma

ix. Pinjaman kenderaan atau perumahan di atas kadar jawatan yang dipangku